Bagaimana untuk Menangani Kemiskinan?

3 mins read
Memahami Erti Kemiskinan

Adakah anda tahu makna kemiskinan?

Jika seseorang bertanya kepada anda soalan ini, apakah jawapan yang terlintas di fikiran anda? Selalunya kemiskinan lebih mudah dikaitkan dengan perkataan-perkataan seperti ‘penderitaan’, ‘kekurangan zat’, ‘kelaparan’, malah ‘Afrika’. Mungkin kita boleh menyalahkan media atas stereotaip dan gambaran cetek sedemikian, namun adakah ia terhenti di situ?

Kita hidup di Zaman Kelewahan – ‘The Age of Excess’. Di seluruh dunia, kita mengeluarkan semakin banyak hasil dan produk, hidangan makanan pula semakin besar. Jika lebih banyak harta dan kekayaan material yang boleh dikumpul, lebih baik. Tetapi kelewahan ini bukanlah dari segi material sahaja, ia juga berlaku dari segi maklumat. Dengan kewujudan dan ledakan Internet, kita seolah telah diserang dengan maklumat dari setiap sudut. Segalanya kini benar-benar berada di hujung jari.

Walau bagaimanapun, aliran maklumat yang berterusan dan berlebihan ini boleh mengakibatkan rangsangan yang berlebihan sekali gus membawa kepada penyahpekaan (desensitisation). Kini kita berhadapan dengan masalah untuk menapis segala pengetahuan ini. Antara kemahiran yang penting kini adalah mengetahui sama ada sesuatu perkara itu betul, selain keupayaan untuk menilai maklumat sama ada berguna ataupun tidak. Tidak hairanlah ‘fake news’ atau berita palsu menjadi satu permasalahan dalam dunia hari ini.

“Dalam pada itu, kita juga dapat melihat sejauh mana berkurangnya kepekaan orang ramai terhadap isu global yang serius.”

Pelbagai kebimbangan seperti isu pencabulan hak asasi manusia, pelarian, perubahan iklim dan kemusnahan alam sekitar yang sering mendapat siaran meluas dalam media telah menyebabkan masyarakat semakin lesu. Kita menjadi tidak endah dan bersikap acuh tak acuh.

Begitu juga dengan kemiskinan. Kita memang mengakui kewujudannya sebagai satu masalah. Mungkin kita turut berusaha melakukan yang terbaik untuk membantu, atau benar-benar berasa kasihan kepada mereka yang terperangkap di dalam kemiskinan tersebut. Mungkin juga kita sudah menganggap ia adalah masalah yang terlalu besar dan kita tidak boleh membawa sebarang perubahan.

Maka kita meneruskan kehidupan seperti biasa.

Agak menyedihkan kerana isu kemiskinan (dan kebimbangan mendesak lain) menjadi mangsa keadaan. Masyarakat memilih untuk menjauhkan diri berbanding benar-benar mendalami perkara tersebut.

“Kemiskinan adalah sesuatu yang rumit. Ada yang jelas kelihatan, tapi ada juga yang tersembunyi.”

Dalam era moden ini, kemiskinan tidak lagi sepadan dengan stereotaip yang biasa kita ketahui. Contohnya golongan miskin bandar. Kita sering mengaitkan kemiskinan dengan gelandangan, mengemis di tepi jalan, atau tinggal di kawasan luar bandar. Namun gambaran kemiskinan di bandar mungkin kelihatan sangat berbeza, seperti kehidupan seorang pekerja kilang yang tinggal di flat kos rendah dan menanggung enam orang ahli keluarga dengan gaji sekadar RM1,200.

Mustahil untuk kita memberi takrifan khusus berkenaan kemiskinan, kerana ia adalah subjek yang begitu luas dengan aspek yang berbeza, dan tafsiran yang memerlukan konteks. Pada 2019, Pelapor Khas PBB Philip Alston mempersoalkan kaedah Malaysia dalam mengukur kemiskinan, yang menghasilkan kadar kemiskinan negara hanya pada paras 0.4% – salah satu yang terendah di dunia. Ini kerana Malaysia mentakrifkan kemiskinan sebagai pendapatan isi rumah yang kurang daripada RM980 sebulan – angka ini pastinya memerlukan semakan. Pegawai PBB berpendapat garis kemiskinan tersebut adalah terlalu rendah, dan mencadangkan agar ia lebih bersifat realistik, contohnya pada kadar <RM2000. Jika kita menggunakan kadar tersebut, ini bermakna kadar kemiskinan di Malaysia adalah di antara 16 hingga 20%.

“Pandemik Covid yang bermula pada 2020 juga telah mengubah statistik ini ke arah yang lebih membimbangkan.”

Pada September 2021, telah dilaporkan bahawa 580,000 isi rumah M40 kini dikategorikan sebagai B40 – iaitu kira-kira 20% daripada kumpulan berpendapatan sederhana. Angka kemiskinan tegar di Malaysia pula meningkat daripada 5.6% pada 2019 kepada 8.4% pada 2020. Keadaan ekonomi yang tidak menentu pada masa ini mungkin mewujudkan sedikit peningkatan, atau semakin merudum pada bulan-bulan akan datang.

Untuk menangani semua isu ini, penting untuk kita memahaminya terlebih dahulu secara lebih mendalam dan menelitinya secara holistik. Setelah itu barulah kita dapat menemui jalan penyelesaian dan pendekatan yang boleh memberi impak yang jelas dan berkekalan.