Kemahiran Insaniah vs Kemahiran Teknikal

Apabila kita berfikir tentang pendidikan, kita fikirkan tentang buku, pembelajaran dalam kelas, penghafalan serta peperiksaan; dan selalunya pendidikan diakhiri dengan pengiktirafan dalam bentuk kertas seperti sijil diploma atau ijazah. Ia bertumpu kepada merit dalam bidang akademik. Kita pantas sahaja menyamakan ijazah = berpendidikan, dan sebaliknya.

Tetapi hari ini ramai majikan dan pengamal sumber manusia profesional mengingatkan kita – merit akademik tak semestinya membawa erti yang besar pada zaman sekarang. Apa makna segulung ijazah, kalau seseorang itu tidak mampu menyampaikan ideanya dengan jelas, atau bekerja dengan baik dalam sebuah pasukan?

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mentakrifkan kemahiran hidup sebagai “keupayaan untuk mengamalkan tingkah laku yang mudah suai dan positif, yang membolehkan seseorang individu mengendalikan tuntutan dan cabaran kehidupan seharian dengan berkesan”. Ia juga melibatkan capaian dan aplikasi ilmu untuk mendapatkan hasil yang produktif.

Di tempat kerja, semakin banyak penekanan diberikan kepada kemahiran hidup, atau kemahiran insani – pekerja yang memiliki kemahiran berkomunikasi dan kemahiran bekerjasama, yang proaktif dan mampu berdikari. Individu pemikir kritis dan penyelesai masalah. Ini semua kemahiran yang selalunya tidak diajarkan dalam kaedah pendidikan yang konvensional, dan tidak semestinya ada pada seseorang walaupun dia memiliki merit akademik.

Sudah tiba masa untuk kita meninjau masa depan dari perspektif pendidikan berasaskan kemahiran.

Ia mempersiapkan generasi muda untuk masa depan yang pantas berubah

Dunia yang kita diami pada hari ini sentiasa berganjak dan berubah, dan kita perlu mempersiapkan generasi muda kita untuk berhadapan dengan realiti ini. Kita perlu mewujudkan generasi yang berdaya tahan dan mudah menyesuaikan diri untuk membentuk tenaga kerja masa depan. Pergantungan pada keputusan akademik dan pendidikan tradisional tidak lagi mencukupi. Krisis Covid-19 telah menyedarkan kita tentang perkara ini apabila dalam sekelip mata, banyak pekerjaan tiba-tiba tidak lagi berdaya maju, kebanyakan tempat kerja sudah beralih ke platform dalam talian, dan keutamaan diberikan kepada pendigitalan.

Ramai orang tidak ada kemahiran yang diperlukan untuk mengatasi cabaran pandemik dan bertindak balas terhadap perubahan dengan berkesan. Ini memberi impak bukan sahaja kepada individu, tetapi juga kepada majikan. Tempat kerja yang tidak dapat membuat penyesuaian dengan perubahan dan cabaran sudah tentu akan ketinggalan.

Kemahiran akademik atau teknikal, walaupun diperlukan, mempunyai ruang lingkup yang sempit. Ia sekadar ilmu atau maklumat yang telah berjaya dicapai dan dikekalkan. Kemahiran hidup meliputi kadar lingkungan yang lebih luas dan boleh diaplikasikan dalam pelbagai situasi, tidak kira peranan atau skop kerja pekerja. Ia satu kemahiran yang boleh dipindahkan dan diguna pakai dalam sebarang pekerjaan, walaupun pekerjaan itu mungkin sangat berbeza daripada pekerjaan sebelumnya.

Ia dapat menangani ketidaksamaan pendidikan

Kebanyakan orang yang hidup dalam kemiskinan mempunyai capaian yang terhad terhadap pendidikan. Jika pengambilan kerja hanya bertumpu pada keputusan akademik, ini bermaksud golongan yang tidak dapat menjalani pendidikan secara formal akan ketinggalan. Mereka langsung tidak ada peluang. Ini akan mengekalkan mereka dalam kelompok golongan miskin yang terperangkap dalam kemiskinan, generasi demi generasi. Mereka yang berkemampuan dari segi kewangan untuk menerima pendidikan akan mendominasi pasaran kerja dan turut menikmati peluang dan manfaat yang datang seiring dengannya.

Pendidikan berasaskan kemahiran mampu memperbaiki kehidupan komuniti miskin, membekalkan mereka bukan sahaja dengan ilmu, tetapi juga kemahiran insaniah yang akan memberi mereka kemampuan untuk bersaing dalam pasaran pekerjaan. Ia meningkatkan prospek mereka untuk mendapat pekerjaan, dan membolehkan mereka mengemudi arah tuju mereka dengan lebih baik dalam sebuah lapangan yang tidak sama rata.

Satu lagi perkara penting untuk kita sedari ialah trend pengambilan pekerja yang sedang berubah. Para majikan kini mengakui nilai yang ada pada kemahiran insaniah, dan dalam kes tertentu, keputusan akademik diletakkan pada kedudukan yang rendah dalam senarai keutamaan. Apa yang menonjol ialah kebolehan calon mempamerkan kemahiran berfikiran kritis, menyelesaikan masalah, dan kemampuan untuk belajar sambil melakukan sesebuah pekerjaan.

Mengubah struktur pendidikan bukan satu perkara yang mudah, tetapi ia perlu dilakukan – menurut unjuran, menjelang tahun 2030 akan ada 1.6 juta warga belia di atas muka bumi, dan tidak sampai separuh akan memiliki kemahiran asas yang mereka perlukan untuk menyumbang kepada masyarakat dan bersaing dalam pentas ekonomi yang cepat berubah. Keadaan ini lebih kritikal di rantau yang dibelenggu kemiskinan seperti Afrika sub-Sahara.

Kemahiran insaniah bukan lagi sekadar pilihan – ia satu kemestian. Ia bukan sahaja mempersiapkan kita untuk tempat kerja atau pasaran pekerjaan, tetapi ia turut menjadi persediaan untuk kehidupan dan menangani ketidakpastian yang sentiasa ada dalam hidup.

Comments are closed.