Bagaimana untuk Menjadikan Pendidikan Mampan?

4 mins read
Hari Pendidikan Sedunia

Sejak kebelakangan ini, dunia kita telah mengalami perubahan yang besar dan pantas. Planet kita sedang dimusnahkan dan kita berhadapan dengan kesan perubahan iklim. Kita juga bukan sahaja sedang berada di tengah-tengah krisis kesihatan global yang telah mewujudkan pelbagai gangguan, malahan struktur masyarakat juga semakin goyah kerana ahlinya yang berpecah-belah dan keadaan menjadi porak-peranda.

Bagaimana kita memberi respons kepada situasi ini?

Tema Hari Pendidikan Antarabangsa pada tahun ini adalah ‘Mengubah Haluan, Mentransformasikan Pendidikan’. Dunia kini perlu mengemudi haluannya kerana jika kita meneruskan perjalanan yang sedia ada, kita mungkin akan menemui kehancuran. Tema ini menggunakan perkataan ‘transformasi’ untuk pendidikan. Dengan perubahan landskap dunia, terdapat keperluan mendesak untuk mengubah suai atau membina semula sektor ini bagi menangani secukupnya situasi semasa dan masalah-masalah berkaitan.

Kita tidak boleh lagi meneruskan hidup seperti dulu. Ia seolah-olah seperti melempar pancing tidak berumpan. Lebih baik sekiranya kita menyedari keperluan untuk mewujudkan perubahan yang nyata dan efektif dengan lebih cepat. Memandangkan pendidikan adalah asas kepada kehidupan, ia juga perlu mencerminkan perubahan zaman.

Semua ini telah didedahkan dalam pandemik global ini, sejauh mana ia telah membawa perubahan yang mendesak dan ketara kepada dunia dan kehidupan kita. Tetapi jurang ini bukanlah dicipta dengan kehadiran Covid-19, ia sebenarnya telah wujud sebelumnya dan pandemik tersebut hanya memburukkan lagi keadaan.

Dari segi pendidikan, para pelajar di seluruh dunia telah banyak mengalami kerugian akibat penutupan sekolah dan apabila kelas dijalankan dalam talian. Mereka yang berada di kawasan pedalaman telah ketinggalan kerana ketiadaan komputer dan sambungan internet. Kanak-kanak terpaksa berkongsi peranti, mengikuti kelas dalam talian dalam persekitaran rumah yang sempit atau bising, atau telah tercicir sepenuhnya.

Oleh kerana pelajar di kawasan bandar lebih berupaya untuk beralih kepada pembelajaran dalam talian, hal ini telah meluaskan lagi jurang antara yang kaya dengan yang miskin. Kekurangan pendidikan membawa kepada kehidupan yang kurang memberangsangkan selain mewujudkan pelbagai kesan negatif seperti pengangguran, kemiskinan berterusan, ketaksamaan jantina, kesihatan yang lemah dan jangka hayat yang lebih pendek disebabkan kualiti hidup yang lebih rendah.

Pada November 2021, UNESCO telah mengeluarkan satu laporan baharu, bertajuk ‘Reimagining Our Futures Together: A New Social Contract for Education’. Laporan tersebut mengemukakan tiga soalan asas:

  1. Apa yang patut kita teruskan?
  2. Apa yang harus kita tinggalkan?
  3. Apa yang perlu dibayangkan semula secara kreatif?

Ini adalah soalan-soalan penting untuk dipertimbangkan dalam mengemudi hala tuju kita ke hadapan. Kita juga memerlukan keberanian untuk membayangkan dan mentakrifkan semula pendidikan.

Bagaimanakah kita boleh menggabungkan teknologi digital ke dalam bilik darjah dengan satu cara yang dapat meningkatkan pembelajaran? Bagaimanakah kita boleh mendekatkan kembali jurang ketaksamaan tersebut? Bagaimanakah kita boleh memperbaharui corak pengajaran dan melengkapkan serta memperkasakan guru-guru dalam menghadapi hari-hari yang mendatang? Bagaimanakah kita boleh memikirkan semula silibus dan pedagogi agar dapat mempersiapkan anak-anak muda ke tempat kerja mereka di masa hadapan?

Kita memerlukan pendidikan yang bukan sahaja bersifat saksama, tetapi juga mampan dan inklusif.

Saya melihat keperluan untuk kita semua menjadi bijak pandai dan berdaya tahan dalam mengharungi hari-hari akan datang, selain memiliki kreativiti dan kepekaan. Harus ada perasaan untuk melakukannya segalanya bersama, menyokong antara satu sama lain dan memastikan tiada siapa yang tertinggal. Kita semua memainkan peranan.
Pendidikan harus menjadi keutamaan dalam respons dan pemulihan kita daripada pandemik.

Jika kita percaya pendidikan merupakan asas kepada ekuiti dan kesaksamaan; untuk keluar daripada kemiskinan dan mencapai peluang untuk kehidupan yang lebih baik; maka tugas di tangan kita agak berat. Namun dalam keadaan yang mendesak ini, ia pasti menggerakkan kita agar bertindak.

Ini adalah inspirasi dan cabaran kepada kami di SOLS edu, agar sentiasa mencari cara dan pendekatan yang lebih baik untuk membawa pendidikan dan perubahan. Kita perlu membuat penilaian dan terus berkembang demi memenuhi keperluan yang telah berubah.

Semoga tahun hadapan membawa kemajuan yang lebih besar dalam kita memikul tugas di hadapan kita. Saya juga ingin menjemput anda untuk bekerjasama dengan kami.

Saya menggalakkan anda untuk terlibat dan membeli buku untuk seseorang sempena Hari Pendidikan Antarabangsa. Sama ada untuk anak anda, pasangan, adik-beradik, kawan karib, rakan sekerja atau orang asing secara rawak. Ia akan menjadi hadiah yang bijak dan merangsangkan fikiran. Ada banyak cara kecil untuk memperbesar dunia seseorang, akan tetapi, sebuah buku adalah yang terbaik dari semuanya.