Bagaimana Pendidikan Boleh Dipulih daripada Covid-19?

4 mins read
Generasi yang Kehilangan Memulihkan Pendidikan Daripada Covid-19

Saat kemuncak Covid-19 melanda sehingga menutup sekolah-sekolah di seluruh dunia, ia telah mengganggu pendidikan bagi lebih 1.6 bilion pelajar. Walaupun jelas kita perlu membendung wabak tersebut, kita juga mula melihat sejauh mana kesannya terhadap generasi muda yang ‘kehilangan’ pendidikan mereka akibat penutupan sekolah yang berpanjangan.

Kehilangan pembelajaran

“Kehilangan pembelajaran” adalah satu istilah yang menerangkan kehilangan ilmu pengetahuan atau kemahiran akibat gangguan terhadap kemajuan akademik. Perkara ini biasa berlaku apabila terdapat waktu renggang yang panjang dalam tempoh pendidikan kanak-kanak. Istilah ini tidaklah merujuk kepada satu konsep yang baharu atau yang wujud selepas kehadiran pandemik Covid-19 kerana ia juga boleh berlaku disebabkan faktor-faktor lain seperti berhenti sekolah dan ketidakhadiran yang berpanjangan.
Namun begitu, pandemik global telah membawa kehilangan pembelajaran kepada tahap dan peringkat yang belum pernah terjadi sebelum ini. Secara khususnya, ia telah menonjolkan lagi jurang sosioekonomi yang ketara antara negara kaya dan negara miskin. Kehilangan pembelajaran menjadi lebih buruk apabila terdapat sekatan dan perintah kawalan pergerakan yang ketat dalam tempoh yang panjang. Negara-negara yang sebelum ini telah lama bergelut dari segi pendidikan, semakin terkapai-kapai mencari talian hayat.

Kesan kehilangan pembelajaran

Apa yang berlaku apabila terdapat gangguan yang besar terhadap pendidikan? Impaknya bukan saja pada masa sekarang tetapi juga boleh membentuk kesan yang lebih buruk di masa hadapan. Menurut laporan yang diterbitkan oleh Bank Dunia, UNESCO dan UNICEF, generasi pelajar ini berisiko menghadapi kerugian bernilai $17 trilion dalam pendapatan seumur hidup menurut nilai semasa, atau kira-kira 14% daripada KDNK global hari ini akibat penutupan sekolah disebabkan Covid-19.
Kehilangan pembelajaran juga boleh membawa kepada peningkatan risiko untuk berhadapan dengan masalah buruh kanak-kanak, keganasan berasaskan gender, perkahwinan bawah umur dan kehamilan. Perempuan pula mempunyai risiko yang lebih tinggi dan berhadapan dengan akibat yang lebih teruk apabila kehilangan pendidikan.

“Ini adalah masa depan generasi muda kita jika kita tidak bertindak dengan lebih pantas untuk memulihkan keadaan.”

Di sesetengah negara, pembukaan semula sekolah bukanlah merupakan satu keutamaan. Malaysia telah menjalani hampir 35 minggu fasa penutupan sekolah pada 2021 – antara yang paling lama di dunia (sebaliknya, sekolah di negara-negara berpendapatan tinggi hanya ditutup antara 0-16 minggu). Menurut laporan, seramai 21,316 pelajar berhenti sekolah sepanjang Covid-19, bermula Mac 2020 hingga Julai 2021. Jumlah ini adalah amat mengejutkan.
Tinjauan yang dilaksanakan oleh Dana Penduduk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) dan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) mendapati bahawa bilangan keciciran yang tidak seimbang adalah daripada kebanyakan komuniti miskin di Lembah Klang. Gangguan kelas secara bersemuka telah menyumbang kepada kehilangan minat untuk mereka meneruskan pembelajaran. Ramai antara mereka tidak hadir ke kelas dalam talian dengan alasan ketiadaan peranti/sambungan internet selain kesukaran untuk membiasakan diri dengan mod pembelajaran baharu.
Tinjauan itu juga mendapati 8 daripada 10 pelajar berasal dari isi rumah yang tidak mempunyai komputer atau komputer riba, manakala 9 daripada 10 hanya mempunyai telefon pintar sebagai peranti pembelajaran mereka. Apabila sekolah dibuka semula, mereka yang berpendapatan rendah dan daripada golongan yang mengalami masalah kewangan akibat pandemik yang berlaku, tidak lagi mampu untuk membayar kemudahan seperti pengangkutan ke sekolah, dan membeli barangan berkaitan seperti topeng muka yang diwajibkan.

“Semakin banyak halangan yang wujud untuk seorang pelajar hadir ke sekolah, semakin rendah kemungkinan untuk mereka kembali.”

 

Menghapuskan halangan ke arah pemulihan

Tindakan membuka semula sekolah bukanlah satu-satunya jawapan kepada permasalahan ini. Seperti yang kita tahu, kekurangan dan kelemahan dalam sistem pendidikan kita perlu ditangani dengan segera. Kaedah pembelajaran sebelum kewujudan Covid-19 juga perlu disemak semula kerana ia mungkin tidak mencukupi untuk memulihkan semula keadaan selepas sekolah ditutup buat beberapa waktu.
Pihak sekolah perlu menggabungkan teknologi ke dalam pembelajaran dan mempersiapkan pelajar dengan kemahiran untuk menggunakannya. Oleh kerana pandemik masih berterusan, kaedah pembelajaran hibrid akan kekal buat masa ini. Sudah tentu ramai pelajar dan guru mengalami kejutan budaya dengan perubahan ke mod pembelajaran dalam talian secara tiba-tiba sebelum ini dan antara mereka ramai yang tidak dapat mengikutinya dengan baik. Lantaran itu, penting untuk kita sama-sama berusaha melengkapkan setiap pelajar dengan pengetahuan teknologi dalam menuju masa hadapan.
Terdapat keperluan mendesak untuk menyesuaikan pendekatan sedia ada kerana kanak-kanak mempunyai keperluan yang berbeza. Kita juga bukan sahaja perlu memenuhi keperluan pembelajaran mereka, tetapi juga keperluan psikososial dan emosi. Sudah tentu kita akan dapat melihat kesan perubahan drastik ini dalam kehidupan kanak-kanak di seluruh dunia satu hari nanti.
Banyak lagi perlu dilakukan untuk memastikan pelajar berpendapatan rendah tidak ketinggalan.

“Hal ini memandangkan pendidikan merupakan jalan utama untuk keluar dari kemiskinan selain peluang untuk menjalani kehidupan yang lebih baik. Pelajar berpendapatan rendah lebih banyak terkesan oleh pandemik ini dan keadaan semakin kritikal dan mendesak.”

Pandemik telah mewujudkan ‘generasi yang kehilangan’, tetapi jika kita berusaha dengan lebih cepat dan berkesan untuk mengatasi masalah ini serta merapatkan kembali jurang, kita mungkin dapat membantu mereka mencari jalan kembali.