3 Perkara Yang Anda Perlu Tahu Mengenai Aplikasi SOLS edu

3 mins read
3 Things You Need to Know About The SOLS edu App

Tumpuan Aplikasi SOLS edu (SOLS edu App) adalah untuk memudahkan akses kepada pendidikan berkualiti kepada semua kerana kami percaya pendidikan mempunyai kuasa untuk mengubah masa depan seseorang ke arah yang lebih baik. Pendidikan memberikan kita peluang yang saksama dan lebih luas selain menyediakan prospek yang lebih cerah. Pendidikan hebat tidak seharusnya dikhususkan untuk golongan elit yang berada.

Sehubungan dengan itu, kami memulakan langkah untuk membina SOLS edu App. Kami telah mengambil masa selama 6 tahun untuk menjalankan penyelidikan dan pembangunan bagi membentuk aplikasi yang bersifat interaktif dan kondusif bagi proses pembelajaran.

“Menjadi keutamaan kepada kami agar teknologi yang digunakan dapat memenuhi keperluan pengguna selain memberikan pengalaman pembelajaran yang bermanfaat dan efektif.”

Saya amat teruja dengan kehadiran aplikasi ini. Ia membolehkan rakyat Malaysia, tidak kira remaja mahupun dewasa, untuk mempelajari Bahasa Inggeris mengikut kesesuaian tahap mereka sendiri dan mendapat sijil selepas melengkapkannya. Kami juga telah bekerjasama dengan pejuang muzik hip hop tempatan Joe Flizzow atau Cikgu Joe untuk kursus Work Essential English yang disesuaikan untuk mereka yang baru berjinak-jinak dengan Bahasa Inggeris atau masih memiliki tahap kemahiran yang rendah. Kami mahu aplikasi ini memberikan manfaat kepada lebih ramai pihak dan kerana itu, kami menjadikannya PERCUMA.

Kursus ini menyediakan pelajaran dalam bahasa ibunda pengguna. Buat masa ini, ia boleh didapati dalam Bahasa Malaysia, Bahasa Indonesia, Mandarin atau Tamil. Pembelajaran melalui bahasa ibunda boleh membantu menambah baik proses pemahaman dan pembelajaran terutamanya jika pengguna tidak mempunyai banyak pengalaman dengan Bahasa Inggeris.

“Program itu meletakkan matlamat untuk membantu setiap rakyat Malaysia mampu menguasai Bahasa Inggeris di tempat kerja daripada kemudahan peranti digital mereka.”

Terdapat tutorial audio dan video selain latihan dalam pelbagai format untuk menjadikan pembelajaran satu pengembaraan yang menyeronokkan dan interaktif. Aplikasi ini juga menarik minat pengguna melalui pertandingan, matlamat yang jelas serta maklum balas segera. Keputusan yang diterima dalam masa nyata, penilaian prestasi dan latih tubi akan memberikan motivasi dan menggalakkan pengguna agar terus berusaha meningkatkan kemahiran mereka.

Aplikasi ini kini memiliki sekitar 40,000 pengguna dan mempunyai kapasiti untuk mencapai sehingga 100,000 pengguna pada tahun hadapan. Terdapat lebih daripada 30 juta penutur Bahasa Malaysia, lebih daripada 270 juta penutur Bahasa Indonesia dan lebih daripada 1 bilion penutur bahasa Mandarin di seluruh dunia. Dengan lebih banyak bahasa yang ditambah ke aplikasi ini, kami berharap kami dapat melebarkan sayap ke negara-negara seperti India dan China di masa hadapan.

“Bahasa Inggeris boleh dianggap sebagai pasport atau gerbang dunia, maka kebolehan kita menguasainya menjadi kunci kepada peluang pekerjaan dan kerjaya yang lebih baik.”

Kita tidak boleh mengabaikan kepentingan bahasa tersebut dalam dunia perniagaan. Kebanyakan sesi temu duga juga dijalankan dalam Bahasa Inggeris. Tanpa penguasaan dalam bahasa ini, lebih ramai akan ketinggalan kerana kurang berupaya untuk mendapat pekerjaan atau lebih maju dalam kerjaya mereka.

Celik digital juga merupakan satu lagi kemahiran penting dalam era ini. Keupayaan untuk memahami dan menggunakan teknologi, kemahiran perisian dan pelbagai alat dalam talian boleh mewujudkan lebih banyak peluang. Teknologi memiliki begitu banyak potensi yang boleh dimanfaatkan jika kita tahu cara untuk menggunakannya.

Pandemik Covid-19 telah membawa satu perubahan berbeza. Salah satunya apabila kita semua kini beralih ke dalam talian. Kebanyakan perniagaan terpaksa beradaptasi dan menggunakan model dalam talian untuk bertahan. Bekerja dari rumah juga telah menjadi norma baharu. Begitu juga dengan aktiviti pengajaran, bilik darjah kini berada di dunia maya dan dalam bentuk hibrid.

Pendigitalan dalam pendidikan tidak dapat dielakkan. Kita hanyalah menanti masa yang tepat untuk melaksanakannya. Kita perlu beradaptasi dengan perubahan di sekeliling kita yang berlaku dengan pantas. Di SOLS edu, kami mengiktiraf dan memberi respons ke atas keperluan untuk mewujudkan pilihan pendidikan digital berkualiti dan kami percaya bahawa ia akan memberi manfaat kepada semua pihak.

Kami memulakan langkah ini kerana kami tahu sejauh mana kesannya terhadap masyarakat. Kehadiran aplikasi ini bukan sekadar untuk mengajar Bahasa Inggeris, memastikan pengguna celik digital atau berkemahiran insani, tetapi demi memberikan perubahan dalam hidup seseorang.